KUALA NERUS: Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said dilantik semula sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), umum Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, lantikan berkenaan berkuat kuasa serta-merta.

Beliau berkata pembabitan kembali bekas Menteri Besar itu diharap dapat memacu pembangunan di tiga daerah di bawah pentadbiran Ketengah iaitu Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman.

Ahmad Said dilantik sebagai Pengerusi KETENGAH

Katanya, Ketengah juga akan memberi tumpuan dalam melahirkan usahawan baharu di kalangan penduduk kawasan luar bandar.

Ahmad Zahid berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Santunan Kasih Ramadan di Masjid Al-Ansar, Kem Sri Pantai, Seberang Takir di sini malam tadi.

Dalam pada itu, beliau mengesahkan semua calon parti itu akan menggunakan lambang dacing bagi Pilihan Raya Negeri di enam negeri nanti.

Katanya, parti-parti lain dalam Kerajaan Perpaduan pula akan menggunakan lambang pilihan masing-masing bagi calon mereka.

"Namun kita bergerak sebagai satu jentera, jentera kebersamaan antara parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan," katanya.